Sunday, March 13, 2011

~ Menyukat Bahan-bahan ~

Ada pelbagai cara menyukat bahan-bahan. Ibu-ibu kita dahulu menyukat bahan dengan gelas, cawan, mangkuk, sudu makan dan ada juga yang main agak-agak saja atau cukup basah. Apabila buat kuih atau kek sekejap jadi dan sekejap tak jadi. Maklumlah, alat penyukatnya berubah-ubah, hari ni pakai cawan, esok lusa pakai mangkuk pula. Dengan kemudahan moden sekarang, pelbagai alat dicipta untuk memudahkan anda menimbang atau menyukat bahan-bahan. Ada penimbang digital, penimbang jarum (spring) atau pun cawan yang standard. Semuanya ada dijual di kedai bahan kek ataupun di pasaraya biasa. Di Malaysia, kita menggunakan timbangan metrik menggantikan timbangan paun (lb) dan aun (oz). Tetapi jika kita rajin melayari internet, kita boleh dapati resipi-resipi orang Amerika banyak yang menggunakan cawan (cup) dan paun. Memang bermasalah jika kita hendak mencuba resipi mereka kerana terpaksa menukarkannya kepada gram. Berikut adalah carta ringkas sukatan imperial dan juga metrik.


1 oz - 25 gm
9 oz - 250 gm
16oz (1 lb) - 450 gm
2 lb 4 oz - 1 kg
1 cawan mentega - 250 gm
1 cawan gula - 250 gm
1 cawan tepung - 125 gm
2 cawan tepung - 250 gm
1 camca kecil/teh - 5 gm


Tip Menyukat Bahan :

1. Adalah lebih mudah dan tepat jika menggunakan penimbang digital. Saya menggunakan jenama Tanita dan telah digunakan selama lebih 5 tahun tanpa sebarang masalah. Memang berbaloi membelinya walaupun harganya agak mahal.

2. Apabila menyukat tepung, gemburkan atau ayakkan ia dahulu baru disukat atau ditimbang. Jika menyukat dengan cawan, jangan ditekan tepung itu kerana ia akan menjadi padat dan sukatannya telah berlebihan. Ratakan permukaannya dengan pisau. Ia tak sepatutnya disukat membumbung.

3. Sudu/camca kecil atau sudu/camca teh, sukatannya hampir sama tetapi sudu makan dan sudu besar ianya berlainan

.4. Cecair boleh disukat dengan gram atau dengan mililiter (ml). 100 gm air dengan 100 ml air adalah lebih kurang sama sukatannya.

No comments: