Thursday, March 26, 2015

Tips Untuk Masakan Ikan .........


 
Selain siakap, ikan yang sesuai untuk hidangan ini adalah ikan merah, kerapu atau ikan kembung. Untuk mengurangkan bau hanyir ikan, sebaik saja dibersihkan mestilah dilumur dengan garam dan jus limau nipis atau air asam jawa. Biar selama 30 minit kemudian bersihkan semula dan lap kering-kering.
Bagi mengelakkan kulit ikan yang dikukus koyak, kelar dua atau tiga kali secara menyerong. Lakukan dikedua-dua belah ikan sehingga ke bahagian tulang tengahnya. Cara ini juga akan mempercepatkan ikan masak bila dikukus. Jangan buangkan air kukusan ikan kerana ia membuat kuah lebih manis.
Ikan yang dikukus atau stim lebih lembut isinya. Ia juga sesuai bagi yang mahu mengurangkan pengambilan makanan bergoreng. Minyak gorengan, terutama yang digunakan berkali-kali membawa akibat tidak baik kepada kesihatan. Jadi, tidak usah memikirkan sangat untuk berjimat jikalau anda perlu mempertaruhkan kesihatan tubuh badan.
Seelok-eloknya, gunakan minyak bermutu tinggi yang tiada kolesterol (namun agak mahal) terutama bagi sup atau sayur goreng (di mana anda makan dengan kuahnya sekali). Anda juga boleh menggantikan mentega di dalam masakan bertumis, dengan marjerin kerana sumber marjerin adalah sayur-sayuran.
Bagi anda yang inginkan kelainan, boleh juga menggoreng ikan. Gaul terlebih dulu dengan garam dan serbuk lada sulah. Perap selama 30 minit sebelum dilumur dengan putih telur yang dipukul sedikit. Kemudian salut dengan tepung jagung. Ini akan membuat ikan lebih rangup.
Bila menggoreng jangan terlalu garing kerana isi ikan mudah keras. Cuma pastikan apinya sederhana kuat. Untuk mengelakkan minyak meletup, tutup sedikit kuali. Jangan tutup rapat kerana ikan sukar menjadi garing.
Sekiranya anda perlu terbalikkan ikan goreng, masukkan beberapa keping asam gelugur ke dalam minyak panas itu. Ini adalah panduan supaya ikan mudah dialihkan dan kulitnya tidak koyak. Ada juga yang menaburkan sedikit garam ke dalam kuali semasa menunggu minyak itu panas.
Sebaik-baiknya goreng di dalam minyak yang banyak. Dengan cara ini, anda tidak perlu membalikkan ikan. Ia bukan hanya  Ikan seperti kerapu selalunya dibuangkan tulang tengahnya dan ditekan supaya terbuka (bahagian isi di sebelah bawah). Ia lebih mudah disajikan. Selain daripada itu, kuahnya juga mudah meresap ke dalam isinya dan ini menjadikannya lebih sedap.
Keharuman sajian ini menyerlah kerana penggunaan bunga kantan dan limau purut. Bagi anda yang lebih sukakan aroma daun ketumbar, boleh juga taburkan di atas ikan sejurus sebelum dihidangkan. 
Kebanyakan masakan ala Thai memang menggunakan daun ketumbar sebagai penyeri. Seperti kebanyakan dedaun herba yang lain, ia juga mengandungi pelbagai khasiat. Malah akar ketumbar adalah ramuan terpenting di dalam beberapa jenis masakan Thai. Namun begitu, sekiranya anda tidak mahu memasukkan bunga kantan atau daun limau purut, terpulanglah.
Semasa mengukus ikan, jangan buka penutup kukusan sekurang-kurangnya untuk 10 minit pertama. Ini untuk mengelakkan wap panas keluar. Ikan yang dikukus kelihatan masak jika bahagian matanya berubah menjadi putih atau tersembul keluar sedikit. Padamkan api dan ubah ikan ke dalam pinggan hidangan. Air rebusan ikan yang terkumpul perlu dicampur ke dalam kuah atau sosnya.