Bolehkah
bercinta sebelum kahwin? Ada yang cakap, tak boleh. Sebab bercinta
hanya selepas kahwin. Benarkah? Sebelum saya mengupas lanjut tentang
topik ini, saya nak kongsi dengan pembaca semua dua mafhum dalil
daripada ayat al-Quran dan al-hadis.
Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 bermaksud:
“Dan
di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya
bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari
jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra
dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih
sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi
keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang
berfikir."
Dalam satu hadis pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Apabila
di antara kamu hendak meminang perempuan, maka jika dia boleh melihat
apa-apa (bukan aurat) daripada perempuan itu yang boleh menggalakkan dia
mengahwininya, maka hendaklah dia melakukannya."
Ayat
al-Quran dan hadis ini memberi satu panduan; percintaan perlu untuk
tujuan perkahwinan dan dibenarkan untuk mempunyai rasa kasih dan sayang
sebelum wujudnya ikatan perkahwinan tersebut. Namun, ada syarat tertentu
yang perlu dijadikan panduan dan sempadan agar lelaki dan perempuan
tersebut dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam batasan
agama demi untuk pihak-pihak dapat merasai kesesuaian hidup sebagai
suami atau isteri dengan pasangannya itu.
Secara
mudah, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian dan
menjadi syarat utama sebagai panduan dan sempadan iaitu tatacara
pergaulan, tatacara pertuturan dan tatacara luahan perasaan. Menyentuh
mengenai pergaulan, seperti yang selalu saya tegaskan, bercinta atau
bertunang sekalipun tidak memberikan anda kebebasan bergaul seperti
telah mempunyai ikatan yang sah. Ramai pasangan kini yang belum kahwin
tetapi bercinta atau bertunang, bertindak bergaul tidak menurut kehendak
syarak. Ya! Anda sayangkan dia. Anda dah bertunang dengannya! Tapi
hukum batasan aurat tetap sama, tetap haram mendedahkan aurat anda
kepadanya. Lelaki pun punya batasan aurat yang tersendiri ya!!
Bukan
sekadar mendedahkan aurat malah haram juga bersentuhan apatah lagi
bersentuh tanpa apa-apa alas atau lapik. Ada yang cakap, sentuh berlapik
tak per, ala-ala bersalaman lelaki dan perempuan tetapi yang perempuan
bersarung tangan! Benar tapi tak tepat!! Bersentuhan walau berlapik
tetapi jika boleh menimbulkan syahwat, hukumnya juga haram!! Analogi
mudah, jika anda terpagang atau tersentuh anjing atau khinzir, anda
dikehendaki menyamak tempat bersentuhan tersebut. Selepas samak, anda
akan kembali suci. Malangnya, jika anda bersentuh (dalam erti kata
sengaja), anda tak boleh kembali suci walau dengan menyamak seluruh diri
kecuali anda bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya!!
Ada yang
berpendapat, tak boleh berjumpa di tempat awam sebab boleh menimbulkan
fitnah. Jalan terbaik, berjumpa di masjid atau surau dan berbicara di
balik tabir. Rutin ini pernah saya lihat berlaku tika saya di kampus
dulu. Terus terang, saya tidak bersetuju dengan cara tersebut malah saya
yakin, cara tersebut juga melanggar kehendak syarak! Ya lah, berbicara
bersunyi-sunyian! Ada yang meneman tapi jauh ke belakang. Kalau disentap
tabir yang menjadi tirai pemisah, boleh bersentuhan hidung
masing-masing!! Tolonglah! Jangan jadikan agama sebagai bahan untuk
kepentingan sendiri.
Sebab?
Bukan saja pergaulan, sebaliknya cara anda bertutur, bercakap, berbual,
bergurau juga terikat dengan syarat khusus; tidak melanggar batasan
syarak. Jika cara anda bercakap, bergurau atau apa saja boleh
menimbulkan keghairahan pihak satu lagi atau menyebabkan kelalaian
daripada menunaikan tuntutan agama, maka anda melanggar tatacara
bercinta menurut syarak. Sama juga dalam meluah perasaan! Sebelum
perkahwinan, luahkanlah perasaan sayang anda tapi berpada-pada, sekadar
untuk memaklumkan perasaan tersebut kepada pasangan anda.
Seorang
remaja lelaki bertanya kepada saya; boleh ker nak ucapkan cinta dan
sayang kepada kekasihnya setiap pagi dan malam? Jawapan saya; tak perlu
sebab nanti kekasihnya akan jemu. Paling tidak pun, luahan tersebut dah
tak ada harganya lagi! Memang la rasa teruja sebab hubungan masih dalam
larangan, masih ada batasan yang perlu dijaga maka syaitan pun asyik je
lah menggoda. Itu baru luahan sayang, ada pasangan bercinta yang
melafazkan keinginan nak memeluk pasangan, nak mencium pasangan dan
macam-macam lagi. Astaghfirullah!! Itu bukan tatacara percintaan yang
Islam benarkan. Bercintalah tapi banyakkan bersabar. Kekang dan jaga
nafsu anda!! Jangan biarkan keinginan nafsu tersebut menguasai emosi dan
minda anda!!
“Alaaa, tak pe lah, buat ja dulu, nanti lepas kahwin
bertaubat lah!!" Jika itu pendirian anda, ingin saya tanyakan; tahukah
bila tibanya tarikh maut anda? Bercintalah menurut ketetapannya, bukan
saja bahagia sebelum perkahwinan tetapi akan kekal bahagia selepas
perkahwinan hingga ke akhirat nanti, insyaAllah!!