Bolehkah bercinta sebelum kahwin? Ada yang cakap, tak boleh. Sebab bercinta hanya selepas kahwin. Benarkah? Sebelum saya mengupas lanjut tentang topik ini, saya nak kongsi dengan pembaca semua dua mafhum dalil daripada ayat al-Quran dan al-hadis.
Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat 21 bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir."
Dalam satu hadis pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila di antara kamu hendak meminang perempuan, maka jika dia boleh melihat apa-apa (bukan aurat) daripada perempuan itu yang boleh menggalakkan dia mengahwininya, maka hendaklah dia melakukannya."
Ayat al-Quran dan hadis ini memberi satu panduan; percintaan perlu untuk tujuan perkahwinan dan dibenarkan untuk mempunyai rasa kasih dan sayang sebelum wujudnya ikatan perkahwinan tersebut. Namun, ada syarat tertentu yang perlu dijadikan panduan dan sempadan agar lelaki dan perempuan tersebut dapat berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam batasan agama demi untuk pihak-pihak dapat merasai kesesuaian hidup sebagai suami atau isteri dengan pasangannya itu.
Secara mudah, terdapat tiga aspek utama yang perlu diberikan perhatian dan menjadi syarat utama sebagai panduan dan sempadan iaitu tatacara pergaulan, tatacara pertuturan dan tatacara luahan perasaan. Menyentuh mengenai pergaulan, seperti yang selalu saya tegaskan, bercinta atau bertunang sekalipun tidak memberikan anda kebebasan bergaul seperti telah mempunyai ikatan yang sah. Ramai pasangan kini yang belum kahwin tetapi bercinta atau bertunang, bertindak bergaul tidak menurut kehendak syarak. Ya! Anda sayangkan dia. Anda dah bertunang dengannya! Tapi hukum batasan aurat tetap sama, tetap haram mendedahkan aurat anda kepadanya. Lelaki pun punya batasan aurat yang tersendiri ya!!
Bukan sekadar mendedahkan aurat malah haram juga bersentuhan apatah lagi bersentuh tanpa apa-apa alas atau lapik. Ada yang cakap, sentuh berlapik tak per, ala-ala bersalaman lelaki dan perempuan tetapi yang perempuan bersarung tangan! Benar tapi tak tepat!! Bersentuhan walau berlapik tetapi jika boleh menimbulkan syahwat, hukumnya juga haram!! Analogi mudah, jika anda terpagang atau tersentuh anjing atau khinzir, anda dikehendaki menyamak tempat bersentuhan tersebut. Selepas samak, anda akan kembali suci. Malangnya, jika anda bersentuh (dalam erti kata sengaja), anda tak boleh kembali suci walau dengan menyamak seluruh diri kecuali anda bertaubat dan memohon ampun kepada-Nya!!
Ada yang berpendapat, tak boleh berjumpa di tempat awam sebab boleh menimbulkan fitnah. Jalan terbaik, berjumpa di masjid atau surau dan berbicara di balik tabir. Rutin ini pernah saya lihat berlaku tika saya di kampus dulu. Terus terang, saya tidak bersetuju dengan cara tersebut malah saya yakin, cara tersebut juga melanggar kehendak syarak! Ya lah, berbicara bersunyi-sunyian! Ada yang meneman tapi jauh ke belakang. Kalau disentap tabir yang menjadi tirai pemisah, boleh bersentuhan hidung masing-masing!! Tolonglah! Jangan jadikan agama sebagai bahan untuk kepentingan sendiri.
Sebab? Bukan saja pergaulan, sebaliknya cara anda bertutur, bercakap, berbual, bergurau juga terikat dengan syarat khusus; tidak melanggar batasan syarak. Jika cara anda bercakap, bergurau atau apa saja boleh menimbulkan keghairahan pihak satu lagi atau menyebabkan kelalaian daripada menunaikan tuntutan agama, maka anda melanggar tatacara bercinta menurut syarak. Sama juga dalam meluah perasaan! Sebelum perkahwinan, luahkanlah perasaan sayang anda tapi berpada-pada, sekadar untuk memaklumkan perasaan tersebut kepada pasangan anda.
Seorang remaja lelaki bertanya kepada saya; boleh ker nak ucapkan cinta dan sayang kepada kekasihnya setiap pagi dan malam? Jawapan saya; tak perlu sebab nanti kekasihnya akan jemu. Paling tidak pun, luahan tersebut dah tak ada harganya lagi! Memang la rasa teruja sebab hubungan masih dalam larangan, masih ada batasan yang perlu dijaga maka syaitan pun asyik je lah menggoda. Itu baru luahan sayang, ada pasangan bercinta yang melafazkan keinginan nak memeluk pasangan, nak mencium pasangan dan macam-macam lagi. Astaghfirullah!! Itu bukan tatacara percintaan yang Islam benarkan. Bercintalah tapi banyakkan bersabar. Kekang dan jaga nafsu anda!! Jangan biarkan keinginan nafsu tersebut menguasai emosi dan minda anda!!
“Alaaa, tak pe lah, buat ja dulu, nanti lepas kahwin bertaubat lah!!" Jika itu pendirian anda, ingin saya tanyakan; tahukah bila tibanya tarikh maut anda? Bercintalah menurut ketetapannya, bukan saja bahagia sebelum perkahwinan tetapi akan kekal bahagia selepas perkahwinan hingga ke akhirat nanti, insyaAllah!!
No comments:
Post a Comment